Sunday, 11 September 2011

70 KALI LAWATAN SEHARI, HAKIKAT MATI ITU PASTI!


بسم الله الرحمن الرحيم

Hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “ Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak ketawa. Maka berkata Izrail; ‘ Alangkah hairannya aku melihat orang ini sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.’ “

-          Manusia sering mudah terlupa akan hakikat mereka akan dikembalikan kepada Yang Maha Berkuasa, kerana mereka tidak mampu menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Tidak pernah melihat keadaanya ‘sering dilawat si pencabut nyawa’. Lalu, persediaan untuk menghadapi kematian dan 2 fasa kehidupan seterusnya ( alam barzakh dan alam akhirat ) turut dilalaikan.

-          Kita mampu bertungkus lumus berusaha dan membuat persediaan untuk menghadapi setiap peperiksaan atau apa-apa ujian di dunia kerana kita tahu tarikh peperiksaan tersebut. Maka, kita mampu menghitung hari untuk menghadapi ujian itu. Tetapi, tarikh kematian, tidak seorang pun mengetahuinya dan tidak mampu menduga bilakah hari terakhir baginya berada di dunia, dan bilakah akan bermula hari pertamanya di alam barzakh.

Ya Allah, Akhirkan hidup kami dengan pengakhiran yang baik..ameen
-          Bayangkan hari esok atau tidak sampai sehari lagi hayat kita di dunia ini berakhir dan akan beralih kepada fasa kehidupan yang ke seterusnya, adakah cukup bekalan kita untuk menghadapi saat itu?

-      Justeru, berbahagialah bagi sesiapa yang membayangkan kehidupannya tidak lama dan saat kematian baginya akan menjelma dalam waktu yang terdekat. Segala amal perbuatannya bersandarkan persiapan untuk menemui Sang Pencipta. Rasulullah saw pernah menyebut bahawa orang yang paling bijak adalah orang yang paling banyak mengingati kematian. Membayangkan saat kematian menghampiri kita tidak bermakna kita perlu meninggalkan semua pekerjaan dunia. Tetapi, bagi orang-orang yang bijak, mereka mengingati saat kematian dan menggunakan kesempatan yang ada untuk melaksanakan segala bentuk perbuatan dan pekerjaan yang mampu memberi faedah kepada mereka di dunia dan akhirat dan meninggalkan perbuatan yang hanya menguntungkan mereka di dunia kerana keuntungan itu adalah keuntungan yang sementara bahkan memberi bebanan kepada mereka untuk selama-lamanya.

-          “ Setiap yang hidup pasti merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu akan kembali. “ ( Surah Al-Anbiya’ : 35)

DaripadaNYA kita datang, KepadaNYA kita dikembalikan

-          Jadikan kehidupan kita dan setiap ujian yang kita hadapi di dunia ini sebagai ‘converter’ atau ‘money changer’ untuk kita berurus niaga dengan Allah di fasa kehidupan yang seterusnya. Kehidapan ini hanya sementara dan kehidupan di alam barzakh dan akhirat adalah hakikat yang pasti.

-- Wallahua’alam..Siiruu’ala barakatiLLAH

No comments:

Post a Comment